Keusahawanan

Keusahawanan

D’benua Sate

 

Pengusaha Sate Sejuk Beku Pn. Rohana bt Musa.

Telah mengusaha sate sejuk beku selama hampir 7 tahun.

Sate D’Benua (Daging & Ayam)

Puan Rohana dan rakan di Karnival Wanita & Keluarga Negeri Johor 2015.

 

SATE D’BENUA : SATE WARISAN KELUARGA

Rohana binti Haji Musa, 45 tahun, seorang ibu tunggal yang mempunyai 5 orang anak kini mampu bangga kerana menjadi pemilik tunggal AF Five Enterprise telah menjalankan perniagaan makanan sejuk beku sejak 8 tahun yang lalu. Dengan hanya berkelulusan SPM, beliau kini mampu menjana pendapatan sebanyak RM 42, 000.00 setahun melalui perniagaan Sate D’Benua.

Bermula pada tahun 2008, beliau menyambung perniagaan membuat sate yang telah diusahakan oleh kedua orang tuanya dengan berniaga di tepi jalan Kayu Ara Pasong dengan bantuan anak beliau. Memikirkan anak beliau akan menduduki peperiksaan SPM, beliau mengambil keputusan untuk menjalankan perniagaan sate secara kecil-kecilan bagi hanya memenuhi permintaan oleh masyarakat dan komuniti setempat bagi majlis-majlis keramaian serta kenduri-kendara dengan membuat bengkel kecil-kecilan di sebelah rumah beliau.

Kemudian pada awal tahun 2010, beliau dapati permintaan terhadap sate bagi orang perseorangan dalam kuantiti sedikit untuk makanan segera atau sejuk beku yang boleh dimasak pada bila-bila masa mula mendapat permintaan yang amat menggalakkan daripada komuniti sekitar. Dengan bermodalkan RM 1,000.00, maka dengan itu, tercetusnya idea beliau untuk menghasilkan sate sejuk beku yang boleh dibeli dan dimasak bila-bila masa oleh pelanggan beliau.

Pada permulaannya, beliau menubuhkan perniagaan beliau ini dengan menggunakan modal sendiri kerana beliau kurang pendedahan kepada perniagaan. Tahun demi tahun, perniagaan beliau bertambah baik dengan sokongan daripada Agensi yang berkaitan seperti RISDA.

Komitmen beliau dalam menghasilkan sate yang sedap dan enak serta mudah untuk dimakan, menjadi pemangkin kepada peningkatan permintaan terhadap sate sejuk beku yang dijual. Dengan mengikuti kursus perniagaan serta ekspo-ekspo dalam negeri, memberikan beliau peluang untuk mempromosikan dan meluaskan lagi perniagaan beliau ini. Pada tahun 2015, beliau telah dianugerahkan Anugerah Usahawan Wanita Harapan Negeri Johor 2015 oleh Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim.

Adat dalam perniagaan, ada ketikanya beliau mengalami kemerosotan dalam perniagaan, namun itu tidak menghalang beliau untuk bangun dan meneruskan perniagaan beliau. Dengan sokongan yang kuat daripada keluarga serta bantuan dari agensi yang terlibat, beliau kini bukan sahaja membekalkan sate sejuk beku tetapi juga menyediakan kuih-muih sejuk beku lainnya seperti karipap, pau, samosa dan sebagainya. Selain itu, beliau turut menerima tempahan katering makanan untuk majlis-majlis kenduri. Sate buatan beliau turut menerima tempahan daripada resort-resort berhampiran terutamanya pada musim cuti sekolah dan perayaan.

Mula berjinak-jinak dengan pemasaran online menggunakan Facebook dan juga aplikasi WhatsApp, beliau berharap dapat meluaskan lagi pasaran perniagaan beliau ini dan seterusnya membuka ruang pekerjaan untuk anak-anak tempatan terutamanya ibu-ibu tunggal seperti beliau.